Majlis Sesi Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Negeri Perlis telah berlangsung di Dewan Warisan, Kangar pada 18 Oktober lalu, melibatkan seramai 10 penerima yang terpilih menerima kediaman baharu masing-masing.
Mereka meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas peluang memiliki rumah baharu dengan bayaran serendah RM300 sebulan.
Bagi Salmi Najihah Zaini dari Beseri, peluang menerima rumah SPNB dianggap sebagai satu rezeki besar yang tidak disangka.
Katanya, kemudahan tersebut amat membantu rakyat yang sudah lama menantikan peluang untuk memiliki rumah sendiri.
“Terima kasih kepada kerajaan dan pihak SPNB kerana bantu kami memiliki rumah sendiri,” katanya.
Beliau turut menasihati individu yang berkelayakan agar tidak menangguhkan permohonan memandangkan proses kini lebih mudah berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Kalau berkelayakan, teruslah mohon, tak payah tunggu.
“Dulu nak dapat rumah SPNB ambil masa bertahun, tapi sekarang lebih cepat dan mudah,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Syakirah dari Tambun Tulang turut berkongsi pengalaman positif apabila proses pembinaan rumahnya hanya mengambil masa sebulan lebih sahaja untuk disiapkan.
“Saya sangat puas hati sebab prosesnya cepat, tak sampai setahun pun minta.
“Kalau tak mampu beli rumah dan tak ada tanah, boleh mohon dengan SPNB sebab prosesnya pun cepat,” katanya.
Seorang lagi penerima, Zakuan Razali dari Jejawi, turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas usaha menyediakan rumah selesa untuk rakyat yang berpendapatan rendah.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada SPNB dan kerajaan kerana beri saya peluang dapat rumah ini.
“Pembinaan pun kurang setahun siap,” katanya yang turut mendoakan agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati manfaat sama.
