Kerajaan Negeri Perlis terus memperkukuh komitmen dalam memastikan setiap lapisan rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri melalui pelbagai inisiatif perumahan mampu milik dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata kerajaan negeri amat menghargai peranan SPNB dalam memperluas peluang dan memudahkan proses permohonan rumah bagi golongan yang memerlukan.
“Alhamdulillah, kini terdapat banyak kaedah dan kemudahan yang disediakan untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri.
Melalui SPNB, kerajaan turut memberi subsidi dan pelbagai insentif bagi meringankan beban rakyat.” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa proses permohonan kini lebih fleksibel berbanding sebelum ini, apabila pemohon dibenarkan membina rumah di atas tanah milik ibu bapa atau pihak lain, dengan syarat mendapat kebenaran bertulis daripada pemilik tanah.
“Kali ini dimudahkan kalau tanah tu tanah mak ayah kita, ataupun tanah orang lain. Kalau dia bagi kelulusan, tandatangan, dan kebenaran, boleh terus buat.
Dulu kena atas nama sendiri, itu yang ramai susah nak mohon. Tapi sekarang alhamdulillah, kita dah mudahkan,” ujar beliau.
Menurut Mohd Shukri lagi, kerajaan negeri turut menerima maklum balas positif daripada kerajaan pusat berhubung permohonan peruntukan tambahan untuk pembinaan rumah baharu di bawah program SPNB.
“Insya-Allah, sebagaimana dimaklumkan oleh Pengarah SPNB Perlis, terdapat potensi peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat untuk kita bina lebih banyak rumah di negeri ini.
Saya sudah mohon dan positif respons yang diterima,” katanya ketika berucap dalam Program ‘Mai Kita Sembang Masa Depan Perlis’ pada 18 Oktober lalu.
Mohd Shukri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang menegaskan bahawa usaha berterusan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menyediakan tempat tinggal yang selesa, selamat dan mampu milik.
