Komitmen Kerajaan Negeri Perlis dalam memastikan rakyat memiliki kediaman sendiri terus diperkasa menerusi pelaksanaan pelbagai projek perumahan rakyat dan rumah kos rendah di seluruh negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abdul Jalil, sehingga suku keempat tahun 2024, sebanyak 27,978 unit rumah terancang telah dibangunkan di Perlis, termasuk 11,363 unit rumah kos rendah.
Daripada jumlah itu, kerajaan negeri telah melaksanakan 33 projek Rancangan Perumahan Awam (RPA) merangkumi 3,136 unit rumah, tujuh projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) melibatkan 1,366 unit rumah dan tiga Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menyediakan 1,428 unit rumah.
“Kerajaan negeri secara berterusan berusaha membantu rakyat dalam memiliki rumah yang selesa ini,” katanya.
Usaha kerajaan negeri itu selari dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, yang mahu agenda pembangunan perumahan rakyat diberi keutamaan berbanding projek pencakar langit.
Menurut beliau, pencapaian sebenar Kerajaan Madani bukan pada binaan megah, tetapi pada jumlah rakyat yang berjaya memiliki kediaman sendiri.
Sehingga kini, sebanyak 468,000 rumah mampu milik telah dibina, diluluskan atau mendapat kelulusan perancangan, dan dijangka mencapai sasaran 500,000 unit menjelang hujung tahun ini.
Mengulas lanjut, Asrul berkata bagi tahun 2025, sebanyak 1,103 permohonan telah diterima bagi projek perumahan di Taman Hijrah, dengan 300 pemohon sudah dipanggil temuduga untuk mengisi 60 unit rumah berharga RM140,000 seunit.
Tambahnya, beberapa projek baharu sedang dirancang, antaranya satu projek PPR yang sedang dibangunkan di Padang Besar, manakala satu lagi di Simpang Empat yang telah diluluskan melibatkan penyediaan 175 unit rumah.
Selain itu, pembinaan rumah mampu milik secara Request For Proposal (RFP) oleh pemaju swasta juga akan dilaksanakan, dengan penyediaan 794 unit rumah baharu di kawasan Titi Tinggi dan Tok Kuning.
Sumber: Utusan Malaysia