Pelabuhan Darat Perlis (PIP) kini telah mula beroperasi secara manual pada 1 Disember lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh YAB Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis semasa membentangkan Belanjawan 2026 Negeri dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas, di Kompleks Seri Putra, Kangar.
Tambah beliau, pengoperasian komersial pelabuhan tersebut dijangka bermula sepenuhnya pada Februari 2026 dengan Majlis Soft Launch Operasi Komersial dijadualkan pada 20 Januari 2026.

“Pengoperasian PIP akan menjadi titik perubahan besar dalam landskap ekonomi Negeri Perlis di mana tumpuan kepada pengendalian kontena, perkhidmatan pergudangan, sistem pelepasan barangan secara “inland clearance” serta faktor penarik kepada pelabur ke Negeri Perlis khususnya CVIA,” katanya.
Majlis Perasmian Diraja Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin di PIP oleh DYMM Tuanku Raja Perlis dijadualkan pada 7 April 2026.
Dalam pada itu, ketika sesi soal jawab beliau turut memaklumkan kereta api pertama dari Kunming, China telah tiba di pelabuhan tersebut.
Beliau turut optimis menyatakan kejayaan menyiapkan pelabuhan darat ini sebagai peluang besar menarik pelabur atas faktor logistik yang lebih mudah dan murah.
