Perlis terus melakar kemajuan apabila dua projek pelaburan baharu bernilai keseluruhan RM1.56 bilion telah diluluskan untuk dibangunkan di Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Padang Besar.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kelulusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Pelaburan CVIA (JPPPCVIA), sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi strategik kawasan tersebut.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa nama syarikat terbabit tidak dapat didedahkan buat masa ini memandangkan proses pelaburan masih berada di peringkat awal dan tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan antara pelabur dan klien.
“Kerajaan negeri perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan mana-mana pihak berkepentingan dalam usaha pelaburan ini,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Chuping, Saad Seman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Putra semalam.
Menurut beliau, infrastruktur dalaman Fasa 1 CVIA yang meliputi kawasan seluas 440 ekar telah disiapkan sepenuhnya dan kini bersedia menerima kehadiran pelabur secara aktif.
Tambahnya, segala perancangan serta kelulusan projek dipantau secara teliti oleh JPPPCVIA yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, bagi memastikan pembangunan berjalan teratur dan berimpak tinggi kepada ekonomi negeri.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Gan Ay Ling (PH–Indera Kayangan), Mohd Shukri turut mengumumkan bahawa Projek Jeti Bersepadu Sanglang (Sanglang Integrated Jetty – SIJ) dijangka dimulakan selepas Pelabuhan Darat Perlis (Perlis Inland Port – PIP) memulakan operasi penuh fasa pertamanya pada suku pertama 2026.
Beliau menjelaskan, SIJ akan meningkatkan keupayaan logistik Perlis selain memberi manfaat kepada sektor pelancongan, akuakultur dan perikanan, selain menyokong pengangkutan kargo petroleum dan kargo pukal.
“Projek ini juga dijangka membuka 3,000 peluang pekerjaan apabila siap dilaksanakan,” katanya.
Bagi projek PIP, beliau berkata Fasa 1 sedang giat dibangunkan dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 22 September ini, sekaligus menjadikan Perlis sebagai pusat logistik strategik untuk perdagangan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.
“PIP akan memberi nilai tambah kepada pembangunan projek-projek utama di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) seperti CVIA, Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ) dan Perlis Super Fruits Valley,” jelasnya.
