Usaha meningkatkan kecekapan sistem bekalan air Perlis menerima suntikan besar apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM28.65 juta bagi pembangunan infrastruktur air di bawah Belanjawan 2026.
Peruntukan yang disalurkan menerusi Syarikat Air Perlis itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh prasarana asas di bawah Tekad 2: Pembangunan Infrastruktur Lestari, seperti yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri bin Ramli.
Menurut beliau, fokus utama perbelanjaan pembangunan 2026 melibatkan projek-projek peningkatan kapasiti loji, kerja naik taraf paip utama, penyelenggaraan sistem retikulasi serta penggantian komponen usang yang kritikal bagi memastikan kestabilan bekalan air terawat kepada pengguna.
“Kerajaan Negeri menekankan penyediaan prasarana berdaya tahan agar rakyat menerima manfaat secara langsung, khususnya dalam isu bekalan air yang menjadi keperluan asas harian,” katanya ketika membentangkan perkara ini di Dewan Undangan Negeri Perlis.
Selain memperkukuh sistem bekalan air sedia ada, peruntukan tersebut turut menyokong usaha jangka panjang Kerajaan Negeri dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi musim kemarau, peningkatan permintaan air dan pertumbuhan kawasan pembangunan baharu.
Langkah ini dijangka dapat memperbaiki rangkaian infrastruktur secara menyeluruh serta mengurangkan gangguan bekalan, sejajar dengan matlamat ‘Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera’ untuk mewujudkan kemudahan awam yang lebih selamat, inklusif dan mampan.
