Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli memaklumkan sebanyak 125 permohonan tanah TOL telah diluluskan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri semalam.
Tambahnya, beliau berharap agar penerima tanah berstatus TOL segera menyelesaikan premium bagi mendapatkan geran milikan sah.
“Kita harap pemilik-pemilik tanah TOL yang kita bagi geran ini kena bayar premium supaya dapat memiliki geran yang sah atas tanah mereka,” ujar beliau dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat itu di Kompleks Seri Putra, Kangar, semalam.
“Yang kita bagi sebelum-sebelum ini, ada sebahagiannya gagal bayar premium, jadi tersebut akan kembali berstatus TOL.
Beliau turut menyatakan kekesalan kerana ada sebahagian penerima telah berulang kali diluluskan dalam Mesyuarat AMMK, namun status masih tidak berubah kerana kegagalan melunaskan premium yang ditetapkan.
“Kerja banyak kali, Mesyuarat AMMK lulus benda yang sama jadi suatu perkara yang merugikan dan membazir masa.
“Apa yang penting sekarang ialah pemilik yang menerima geran tanah ini segera menjelaskan bayaran premium,” tambahnya.
Beliau menambah, keluasan tanah yang diluluskan adalah besar melibatkan enam mukim.
