Pejabat Menteri Besar (PMB) Perlis terus memperkukuh usaha pemulihan pascabanjir melalui mobilisasi besar-besaran melibatkan PMB, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) dan sukarelawan Khidmat Malaysia.
Bagi memastikan proses pembersihan dapat dilaksanakan dengan cepat, tersusun dan menyeluruh, Khidmat Malaysia tampil sebagai pasukan sukarelawan utama yang berganding bahu dengan Pejabat Menteri Besar Perlis.
Melalui kerjasama ini, satu Program Cuci Besar-Besaran Pascabanjir akan dilaksanakan di seluruh negeri Perlis bermula hari ini hingga 7 Disember.
Program ini turut mengumpulkan kira-kira 300 sukarelawan dari seluruh negara yang akan digerakkan ke kawasan terjejas untuk membantu penduduk membersihkan kediaman masing-masing.
Usaha ini menjadi antara inisiatif utama PMB bagi mempercepat pemulihan rakyat, khususnya penduduk yang masih terjejas dengan lumpur, sisa banjir dan pelbagai kerosakan di kediaman.
Penduduk yang masih memerlukan bantuan boleh memaklumkan kepada MPKK setempat atau urusetia program bagi membolehkan pasukan sukarelawan diselaraskan ke lokasi terlibat.
Semua bantuan pembersihan yang disalurkan adalah secara percuma, sebagai usaha bersama PMB dan sukarelawan untuk meringankan beban rakyat Perlis.
