Usaha pemulihan sektor pertanian Perlis diteruskan semalam melalui satu tinjauan di kawasan sawah yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.
EXCO Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Negeri, YB Razali Saad, bersama pegawai MADA Perlis, Nor Hafizi Mohamad Yahaya dan Ku Rizal Ku Hamid, telah menjalankan tinjauan bagi menilai tahap kerosakan di lapangan serta merancang tindakan susulan.
Kampung Sri Gelam dan Long Boh dijadikan tumpuan tinjauan susulan kedua-dua kawasan tersebut ditenggelami air sepenuhnya pada 24 November lalu.
Kedua-duanya kini dikenal pasti sebagai antara kawasan paling terjejas di bawah pengurusan MADA.
Penilaian lanjut sedang dijalankan sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Bagi mempercepatkan proses bantuan serta tuntutan insurans, semua pesawah terjejas diwajibkan menghantar dua keping gambar keadaan sawah ketika banjir dan selepas air surut sebagai pengesahan kerosakan.
Keperluan dokumentasi ini penting bagi memastikan proses penyaluran bantuan kerajaan dan tuntutan melalui Skim Takaful Tanaman Padi Agrobank dapat dilakukan dengan cepat dan tepat.
YB Razali turut menggesa pesawah yang belum mendaftar skim takaful tersebut supaya segera berbuat demikian.
“Masih ramai petani yang belum mendaftar Skim Takaful Tanaman Padi.
Pendaftaran adalah percuma dan tiada bayaran,” ujar beliau.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyediakan pelbagai skim bantuan seperti Tabung Bencana Tanaman Padi, Skim Takaful Tanaman Padi dan Tabung Bencana Pertanian yang boleh dimohon melalui pejabat pertanian daerah serta pertubuhan peladang kawasan.
Setakat laporan awal antara 24 November hingga 2 Disember, seramai 9,393 pesawah dan petani di Perlis terjejas, dengan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM42.6 juta.
Tanaman padi merekodkan kerugian terbesar iaitu RM41.04 juta, melibatkan kawasan seluas 14,785.56 hektar.
Tanaman harum manis pula mengalami kerosakan sekitar RM1.17 juta melibatkan 78.03 hektar, manakala tanaman lain termasuk sayur-sayuran, tanaman industri dan cendawan mencatatkan kerugian RM480,950.
Penilaian bagi sektor agropelancongan masih diteruskan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal yang dilantik Jabatan Pertanian.
Razali berharap tinjauan dan penilaian segera ini dapat mempercepatkan fasa pemulihan serta meringankan beban pesawah yang terkesan dengan banjir luar biasa kali ini.
