Sambutan bulan kemerdekaan di Perlis berlangsung dengan meriah dengan penganjuran Minum Petang Merdeka bersama YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli di Rumah Merdeka Aziz Shaari @ Badih, Santan, petang semalam.
Program anjuran MPKK Santan Selatan dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Santan itu menghimpunkan lebih 100 penduduk setempat bagi meraikan kemerdekaan negara ke-68.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah ADUN Santan, Ustaz Azmir Azizan, Pengerusi MPKK Santan Selatan, En. Ahmad Saad, pemilik Rumah Merdeka, En. Abd Aziz Shaari, Pengerusi JPKKP Santan Selatan, En. Affendie Haron serta Tuan Haji Ahmad Mahiyidin.
Acara dimulakan dengan ketibaan YAB Menteri Besar di Masjid Nurussaid, Santan sebelum beliau mengetuai perarakan kibar Jalur Gemilang menuju ke Rumah Merdeka bersama penduduk kampung.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan jamuan minum petang, diikuti ucapan kemerdekaan oleh YAB Menteri Besar yang menekankan semangat perpaduan dan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan.
Program itu turut diwarnai dengan sesi bergambar serta rakaman video ucapan Merdeka bersama penduduk sebelum YAB MB berangkat pulang.