Monday, 16 June, 2025
HomeKomunitiPROJEK KHAS KOMUNITI BANTU RAKYAT JANA EKONOMI

PROJEK KHAS KOMUNITI BANTU RAKYAT JANA EKONOMI

Kerajaan Negeri Perlis baru-baru ini telah memperkenalkan inisiatif baharu dinamakan Projek Khas Komuniti: 1 Kariah 1 Tanaman yang bertujuan memperkasa ekonomi komuniti setempat melalui aktiviti pertanian berskala kecil di kawasan tanah terbiar.

Projek hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri, Jabatan Pertanian dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 10 peserta bagi setiap komuniti kariah, dengan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan sehingga tiga projek.

Menurut YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, projek ini merupakan satu langkah strategik untuk membangunkan pertanian komuniti sambil meningkatkan ketahanan makanan dan pendapatan golongan B40 serta asnaf.

“Setiap kariah yang terlibat akan diberikan bantuan lengkap termasuk sistem fertigasi, pengairan serta input pertanian.

Tanah-tanah kosong milik agensi kerajaan yang sebelum ini terbiar akan diaktifkan semula sebagai tapak tanaman komuniti,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis (Mei) Tahun 2025, pada Jumaat, 23 Mei 2025.

Tambah beliau, pelaksanaan projek akan diselaraskan melalui Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) masing-masing, termasuk dari segi pemilihan lokasi, penyertaan komuniti dan penyediaan infrastruktur.

Kerajaan Negeri juga menyasarkan agar projek ini bukan sahaja berupaya menambah sumber pendapatan keluarga, malah dapat menyuntik budaya bercucuk tanam dalam kalangan generasi muda melalui pendekatan komuniti yang inklusif.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai projek ini boleh berhubung terus dengan pejabat PKWR di kawasan masing-masing untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments