Satu inisiatif oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, bagi memperkenalkan dan mempromosikan produk tempatan Negeri Perlis ke peringkat lebih tinggi telah direalisasikan menerusi pelancaran Produk Masakan Tradisional Kurma Perlis bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur hari ini.
Pelancaran ini bertujuan memperluas promosi produk tempatan Negeri Perlis ke pasaran nasional dan antarabangsa, di samping memperkukuh jenama Perlis sebagai negeri yang kaya dengan identiti budaya serta warisan kulinari tersendiri.
Produk yang diperkenalkan ialah Kurma Daging Perlis dan Kurma Ayam Perlis, dua variasi masakan tradisi negeri yang dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan oleh RG Food Industries Sdn. Bhd. (RGFI).
Menariknya, syarikat tersebut berpengalaman luas dalam menghasilkan produk makanan Ready to Cook (RTC) dan Ready to Eat (RTE) berasaskan teknologi Thermal Decontamination System (TDS) yang memastikan produk kekal segar, bersih dan tahan lama tanpa menjejaskan rasa autentik tradisional.
Kerajaan Negeri Perlis menyambut baik langkah ini kerana ia bukan sahaja menonjolkan keunikan resepi tempatan, tetapi turut berperanan sebagai medium promosi budaya serta citra identiti negeri di persada nasional mahupun antarabangsa.
Sehubungan itu, kerajaan negeri turut menyeru agar lebih banyak produk tempatan seperti Belacan Madu Kuala Perlis, Jem Harumanis, Kopi Pracampur, Acar Ikan Talang Harumanis, Serunding Ayam Harumanis, Marshmallow Harumanis, Sirap atau Kordial Harumanis, Pekasam Ikan dan lain-lain keluaran tempatan dapat diketengahkan oleh pihak korporat dan swasta.
Langkah ini diyakini mampu memperkukuh pertumbuhan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sekali gus memperluas pasaran industri makanan tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Pada masa yang sama, majlis pelancaran ini juga diharap menjadi platform strategik untuk memperkenalkan Perlis sebagai negeri yang kaya dengan hasil tempatan berkualiti, unik dan berpotensi besar menembusi pasaran antarabangsa.
