Wednesday, 11 February, 2026
HomeUmumPERLIS TEKANKAN PERANAN INTERGENERASI, WARGA EMAS DIIKTIRAF SEBAGAI SUMBER ILMU & PENGALAMAN

PERLIS TEKANKAN PERANAN INTERGENERASI, WARGA EMAS DIIKTIRAF SEBAGAI SUMBER ILMU & PENGALAMAN

Perlis menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa peranan warga emas dalam masyarakat dengan mengiktiraf mereka sebagai sumber ilmu dan pengalaman yang penting untuk generasi muda.

YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, usaha itu dizahirkan menerusi penganjuran Seminar Citra Minda Intergenerasi Peringkat Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Durani, Alor Sena, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa kesejahteraan sosial yang dinikmati rakyat pada hari ini ialah hasil titik peluh generasi terdahulu yang kini bergelar warga emas.

Justeru, katanya, kerajaan negeri berpegang kepada obligasi sosial untuk menyediakan persekitaran kondusif agar golongan tersebut dapat menua secara aktif, produktif dan sihat.

“Warga emas mempunyai pengalaman yang luas.

“Aktiviti intergenerasi seperti ini mampu merapatkan jurang, mengeratkan silaturahim, dan memberi pendedahan kepada golongan muda melalui pengalaman mereka,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian.

Dalam ucapannya, beliau turut menarik perhatian terhadap unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa negara akan mencapai status ‘negara tua’ menjelang 2030 apabila populasi warga emas mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk. Pada tahun 2022 sahaja, Malaysia mencatatkan 3.6 juta warga emas (11 peratus), manakala Perlis merekodkan kadar lebih tinggi iaitu 12.2 peratus.

Sehubungan itu, beliau berkata, seminar yang telah dianjurkan sejak enam tahun lalu menjadi platform penting bagi menghubungkan generasi, khususnya melalui aktiviti bersama antara warga emas, belia dan kanak-kanak.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah sound of music, fisioterapi, mewarna batik dan penyediaan hidangan tradisi, yang disifatkan sebagai usaha menanam nilai hormat-menghormati yang semakin terhakis dalam kalangan masyarakat hari ini.

Menteri Besar turut mengumumkan penubuhan PAWE @ 3A (Anytime, Anywhere, Anyplace) yang diluluskan tahun ini.

Konsep baharu itu membolehkan aktiviti warga emas dijalankan tanpa bergantung kepada premis khusus, sebaliknya boleh dilaksanakan di mana sahaja.

Seminar Citra Minda Intergenerasi dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis dengan kerjasama PAWE Durani, dan menjadi sebahagian daripada strategi Dasar Warga Emas Negara yang menekankan penglibatan serta kesepaduan antara generasi.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments