Kerajaan Negeri Perlis menyasarkan kehadiran 400 ribu pengunjung ke Pesta Angin Timur 2025, meningkat berbanding 370 ribu pada tahun lalu dan 333 ribu pada 2023.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan sasaran tersebut dalam satu sidang media sejurus selesai mesyuarat jawatankuasa Pesta Angin Timur 2025 yang diadakan di Bilik Gerakan 1, Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar, pada hari Selasa, 11 Februari 2025.
Pesta Angin Timur 2025 akan berlangsung pada 21 hingga 23 Februari 2025, bermula dari jam 8 pagi hingga 11 malam di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, Perlis.
Acara ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Perlis dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung, beberapa elemen pengisian baharu diperkenalkan, termasuk pertandingan wau tradisional dan pertunjukan wau moden, pertandingan arca jerami gergasi, pameran dan pertunjukan RC Plane, pertandingan bola tampar bendang, serta persembahan Wayang Pacak.
Dalam sidang media itu, YAB Menteri Besar turut mengajak semua kaum, terutamanya masyarakat Cina, untuk hadir ke pesta ini sebagai usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
Selain itu, beliau juga mengumumkan bahawa jumlah gerai jualan pada tahun ini meningkat kepada 225 gerai, dan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memantau harga jualan di gerai-gerai sepanjang pesta berlangsung.
Beliau turut menyatakan bahawa pulangan pelaburan (ROI) bagi pesta ini telah menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada tahun 2023, ROI yang dicatatkan adalah sebanyak RM1.5 juta, meningkat kepada RM2.8 juta pada 2024, dan dijangka mencapai RM3 juta pada tahun ini.
Pesta kali ini juga bakal menyaksikan penyertaan pelancong dari luar negara, menjadikan ia lebih meriah dan berskala antarabangsa.
Dengan pelbagai pengisian menarik dan penyertaan yang lebih meluas, Pesta Angin Timur 2025 dijangka menjadi satu lagi kejayaan besar bagi negeri Perlis.
