Perasmian Pembukaan Musim Harumanis anjuran Koperasi Pengusaha Harumanis Y.A. telah berlangsung dengan penuh meriah pada hari ini, Selasa, 11 Februari 2025, di Pusat Jualan Harumanis Y.A.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Yang Berhormat Tuan Razali bin Saad, Exco Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan, ADUN Chuping, Saad Seman, serta Yang Berusaha Cikgu Mohd Asri Yusof, Pengurus Pusat Jualan Harumanis Y.A.
Dalam ucapannya, Mohd Shukri Ramli menegaskan, “Allah Taala telah mengurniakan Perlis dengan hasil buah harumanis yang berkualiti, maka menjadi tanggungjawab kita untuk memeliharanya agar terus unggul dalam industri ini.”
Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan keunggulan industri harumanis sentiasa terpelihara.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta yang diterima daripada kerajaan Persekutuan bagi sektor pertanian.
Beliau berharap peruntukan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peladang harumanis untuk meningkatkan hasil dan menambah baik proses penanaman serta pemasaran.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan menjaga kualiti harumanis dengan memastikan produk yang dijual adalah asli dan tidak dicampur dengan variasi lain.
“Jual harumanis dengan jujur, jangan jual yang jenis sala,” tegasnya.
Kejujuran dalam perniagaan akan memastikan nama baik harumanis Perlis terus terjaga dan kekal menjadi pilihan utama di pasaran.
Dalam usaha memperkukuhkan ekonomi rakyat, beliau menegaskan, “Kita kena lebih kreatif dengan harumanis, bukan setakat jual buah segar, tapi juga jadikan jus, aiskrim, dan pelbagai produk lain.
“Ini bukan sahaja tambah nilai pada produk tempatan, tapi juga buka lebih banyak peluang rezeki untuk orang ramai.”
Selepas majlis perasmian, YAB Mohd Shukri Ramli turut dibawa melawat ladang harumanis milik koperasi tersebut untuk meninjau sendiri proses penanaman dan penjagaan pokok harumanis.
Beliau turut berkata, “Kedepan nanti, kita usahakan lebih lagi untuk membantu semua rakyat hidup dalam keadaan yang sempurna dengan ekonomi yang cukup.
“Biarlah tiada bangunan tinggi di Perlis ini, tapi rakyat boleh hidup dengan selesa.
“Kalau rasa nak makan di Kuala Perlis, boleh pergi. Nak minum di kedai kopi, boleh pi,” tambahnya.
Majlis perasmian ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan industri harumanis terus berkembang maju serta mampu menjadi sumber pendapatan utama bagi rakyat Perlis.
Dengan kerjasama semua pihak, harumanis Perlis akan terus unggul di persada industri pertanian negara.