Kem RemajaKu Bestari (GenBest Camp) merupakan inisiatif strategik negeri Perlis dalam memperkukuh pembangunan modal insan remaja melalui pendekatan holistik yang berpaksikan data sebenar dan nilai Islam.
Program yang menghimpunkan 60 peserta berusia 11 hingga 15 tahun ini dianjurkan oleh Akademi Fasilitator Perlis (AFPer) bersama Ikatan Mahasiswa Anak Perlis (IMAP) dengan kerjasama Pejabat Exco Pembangunan Modal Insan serta Pejabat Exco Belia dan Sukan Negeri Perlis.
Menurut Pengarah Program merangkap Pengerusi IMAP, Dr Muhammad Nur Amin Bin Zulmi, data menunjukkan remaja hari ini memiliki keinginan kuat untuk berubah, namun memerlukan bimbingan yang konsisten dan berterusan.
Analisis personaliti peserta mendapati cabaran utama remaja berkait rapat dengan pengurusan gajet, tekanan emosi, pengaruh rakan sebaya dan kesukaran mengurus tanggungjawab, walaupun sokongan keluarga kekal sebagai faktor perlindungan utama.

Berdasarkan dapatan tersebut, GenBest Camp dibangunkan berasaskan kerangka nilai BESTARI yang menekankan pembinaan taqwa, akhlak, syukur, tanggungjawab, adab, kekuatan rohani dan keikhlasan.
Modul program dirangka secara praktikal melalui latihan kumpulan, refleksi kendiri dan bimbingan rohani bagi membantu remaja mengaplikasikan nilai murni dalam kehidupan seharian.
Program ini selari dengan aspirasi Perlis Sejahtera untuk melahirkan generasi seimbang dari aspek intelek, emosi, rohani dan sosial sebagai asas pembinaan masa depan negeri.
GenBest Camp membuktikan bahawa pendekatan berasaskan nilai dan data mampu menterjemahkan aspirasi ‘Jom Jadi Baik’ daripada slogan kepada realiti pembangunan generasi muda Perlis.
