Misi Servis dan Start (SnS) Alternative Riding Club (ARC) Malaysia yang berlangsung di Perlis pada 6 dan 7 Disember 2025 berjaya menutup tirainya dengan pencapaian besar apabila 121 buah motosikal mangsa banjir dapat dihidupkan semula.
Hampir 100 sukarelawan ARC Malaysia hadir dari seluruh negara bagi menggerakkan operasi dua hari ini bersama Pejabat Menteri Besar (PMB) Perlis dan Khidmat Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan pascabanjir Negeri Perlis.
Pada hari pertama, gerak kerja bermula di Kampung Tasoh dengan sukarelawan ARC memberi tumpuan kepada motosikal yang terjejas akibat banjir sehingga berjaya menghidupkan semula 25 buah daripadanya selepas melalui proses pembersihan dan pemeriksaan teknikal yang terperinci.
Pada masa yang sama, pasukan ARC di Bukit Chabang membantu penduduk yang berdepan kerosakan motosikal dan berjaya menghidupkan semula 8 buah daripadanya walaupun sebahagiannya mengalami kerosakan serius.
Pada hari kedua, misi diteruskan ke Surau Tebing Tinggi bagi kawasan DUN Bintong dengan kehadiran lebih ramai mangsa yang memerlukan bantuan sehingga usaha di lokasi tersebut berjaya menghidupkan kembali 48 buah motosikal.
Dalam masa itu, satu lagi kumpulan sukarelawan bergerak ke Masjid Titi Tok Bandar di DUN Kayang bagi meneruskan kerja-kerja pemulihan sehingga 40 buah motosikal kembali berfungsi selepas melalui proses servis menyeluruh oleh pasukan teknikal ARC Malaysia.
Sepanjang dua hari pelaksanaan, misi ini menyaksikan 121 buah motosikal berjaya diservis dan diserahkan kembali kepada pemilik masing-masing hasil gabungan tenaga dari pelbagai negeri yang menjadikan operasi SnS berjalan dengan tersusun, berdisiplin dan penuh kesepakatan.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, melahirkan rasa terharu dan bangga terhadap komitmen berterusan ARC dan Khidmat Malaysia yang telah menjayakan misi ini dengan dedikasi luar biasa.
“Saya amat berbangga dan terharu dengan komitmen yang cukup hebat daripada ARC dan Khidmat Malaysia,” ujar beliau.
Beliau yang hadir menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi SnS pada pagi tadi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang dan pihak yang menginfaqkan bantuan untuk menjayakan misi pemulihan ini.
Program ini membuktikan komitmen pimpinan negeri, ARC Malaysia dan Khidmat Malaysia dalam mendampingi masyarakat ketika waktu genting serta memastikan setiap bantuan disampaikan tepat kepada komuniti yang memerlukan.
