Kerajaan Negeri Perlis merancang membangunkan projek rekreasi berkonsepkan lif di Bukit Chabang, sekitar 20 kilometer dari Kangar, sebagai inisiatif baharu memperkasa sektor pelancongan negeri.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, projek berkenaan akan direalisasikan dengan kerjasama sebuah syarikat pelabur dari Kedah yang berpengalaman melaksanakan projek rekreasi serupa di Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Menurutnya, cadangan pembinaan lif itu lebih praktikal dan menjimatkan berbanding kereta kabel sepenuhnya seperti di Langkawi kerana kosnya hanya sekitar belasan juta ringgit, berbanding sehingga RM40 juta bagi kabel sepenuhnya.
“Kalau di Langkawi (Gunung Mat Chincang) kereta kabel sepenuhnya, di Bukit Chabang ini kami boleh buat lif untuk naik ke atas sebelum disambungkan dengan jambatan.
Saya minta syarikat pelabur masuk cepat untuk siapkan projek ini,” katanya selepas merasmikan Skim Kafalah Perlis di Dewan Residensi, Kediaman Menteri Besar Perlis, Isnin lalu.
Beliau menjelaskan, syarikat berkenaan optimis pembangunan itu dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, Bukit Chabang memiliki keunikan tersendiri kerana tiupan angin yang konsisten serta laluan dua belah bukit yang memberi kelainan berbanding Gunung Jerai di Kedah yang hanya mempunyai satu laluan.
“Dari segi rekreasi dan tarikan pelancongan, Bukit Chabang memang sesuai untuk dibangunkan,” jelasnya.
