Kerajaan negeri membuat ketetapan untuk melanjutkan penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 sehingga tahun hadapan sebagai langkah menyokong penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, keputusan itu diambil bagi memastikan kesinambungan promosi pelancongan negara selain merancakkan industri pelancongan negeri dan mengukuhkan ekonomi tempatan.
“Alhamdulillah, kita ambil keputusan ini bagi bersama Kerajaan Pusat dalam usaha menambah kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu.
“Ia juga akan membawa banyak manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan di Kompleks Dewan Undangan Negeri, semalam.
Menurut beliau, pertambahan jumlah pelancong dapat meningkatkan taraf ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada penduduk setempat.
Kerajaan negeri sebelum ini telah melancarkan kalendar acara pelancongan bagi tahun 2025, bermula Januari hingga Disember, yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung ke Perlis.
Sebanyak 56 acara pelancongan telah dirancang melibatkan kluster eko-pelancongan, membeli-belah dan makanan, agro-pelancongan, sejarah dan warisan, seni dan budaya, serta sukan dan rekreasi.
Mohd Shukri turut memaklumkan bahawa kehadiran pelancong ke Perlis tahun lalu berjaya mencapai sasaran 3.5 juta pelancong, dan kerajaan negeri optimis jumlah itu akan terus meningkat pada tahun hadapan.
“Saya dan Setiausaha Kerajaan Negeri juga sedang selaraskan program-program pada tahun hadapan agar tak bertindih dan merugikan kehadiran pelancong,” ujarnya.
Beliau menambah, kerajaan negeri akan berbincang bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menyelaraskan pelaksanaan program sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita akan kemaskini program-program yang dilaksanakan dan mungkin ada pertambahan program baharu bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke Perlis,” katanya.