Penduduk di beberapa kawasan terjejas banjir di Perlis melahirkan rasa syukur dan penghargaan mendalam terhadap pelaksanaan Program Cuci Besar-besaran pascabanjir yang digerakkan oleh Pejabat Menteri Besar (PMB) Perlis bersama Khidmat Malaysia.
Program yang berlangsung sejak 5 Disember lalu dan digerakkan serentak di beberapa lokasi telah membantu membersihkan kediaman mangsa yang dipenuhi lumpur, sampah dan kerosakan akibat banjir, sekali gus membawa kelegaan besar kepada puluhan keluarga yang terjejas.
Penduduk Kampung Jarak, Bintong, Puan Tini, menyifatkan bantuan sukarelawan sebagai sesuatu yang sangat bermakna buat keluarganya yang terjejas apabila air naik sehingga paras tingkap.
“Terima kasih kepada sukarelawan daripada Khidmat Malaysia dan Pejabat MB atas anjuran program ini.
“Terima kasih sebab tolong kemas rumah kak masa banjir ni.
Memang puas hati,” katanya ketika ditemui.
Di Kampung Batu Hampar, Seriab pula, Puan Siti Ramlah turut menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan sukarelawan yang membantu membersihkan rumahnya yang dipenuhi lumpur.
“Alhamdulillah dan terima kasih sebab mai cuci rumah makcik,” ujarnya ringkas namun penuh penghargaan.
Selain kediaman, sukarelawan Khidmat Malaysia turut membersihkan sebuah gelanggang futsal komuniti di Kampung Tok Kuning yang turut ditenggelami banjir.
Kerja pembersihan melibatkan pengalihan lumpur tebal, pencucian lantai gelanggang serta pembersihan kawasan sekeliling bagi memastikan ia selamat digunakan semula oleh penduduk setempat.
Pembersihan besar-besaran itu dilaksanakan dengan penglibatan ratusan sukarelawan setiap hari, merangkumi kerja mencuci, mengalihkan perabot rosak, membersihkan halaman serta membuang sisa banjir secara tersusun.
Penduduk yang ditemui menyifatkan inisiatif ini sebagai antara bantuan paling signifikan selepas banjir, bukan sahaja memulihkan rumah mereka, malah mengembalikan kekuatan dan semangat untuk meneruskan kehidupan.
