Monday, 19 January, 2026
HomeBANJIRSERVIS & START: ARC, PEJABAT MB DAN KHIDMAT MALAYSIA BANTU RAKYAT PASCABANJIR

SERVIS & START: ARC, PEJABAT MB DAN KHIDMAT MALAYSIA BANTU RAKYAT PASCABANJIR

Program Cuci Besar-besaran pascabanjir di seluruh Perlis bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembersihan kawasan terjejas, malah turut diperkukuh dengan program sampingan Servis & Start yang dianjurkan Alternative Riding Club (ARC) Malaysia dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Perlis dan Khidmat Malaysia bagi membantu pemilik motosikal yang rosak akibat ditenggelami banjir.

Ketika lebih 300 sukarelawan digerakkan untuk kerja-kerja pembersihan rumah, kemudahan awam dan infrastruktur komuniti, Program Servis & Start tampil sebagai inisiatif penting untuk memastikan rakyat dapat melanjutkan kehidupan harian mereka tanpa gangguan, khususnya bagi pemilik motosikal yang terjejas.

Pagi ini, pelepasan konvoi sukarelawan bagi Program Cuci Besar-besaran dan Program Servis & Start telah diadakan di Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI), dan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim.

Konvoi tersebut menghantar pasukan Misi Servis & Start ke empat kawasan terpilih dengan menyediakan 100 kupon servis percuma, dibahagikan kepada 25 kupon bagi setiap kawasan.

Seramai 35 sukarelawan Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia dari Baling, Merbok dan Bukit Mertajam digabungkan bersama 20 anggota teknikal ARC Malaysia yang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan, servis menukar minyak enjin dan membersihkan motosikal mangsa banjir.

Sinergi tenaga ini bukan sahaja mempercepatkan proses pemulihan mobiliti rakyat, malah menzahirkan kesungguhan kerajaan dalam memulihkan kehidupan penduduk dari pelbagai sudut.

Setiusaha Politik Menteri Besar Perlis, Mustaqim Abdullah yang turut sama terlibat dalam program ini menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua petugas dan sukarelawan dari seluruh Malaysia yang membantu menjayakan program.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua sukarelawan yang hadir membantu, serta kepada ARC Malaysia yang menyokong melalui Program Servis & Start bagi membaiki motosikal mangsa banjir yang ditenggelami air,” ujarnya.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments