Monday, 19 January, 2026
HomeBANJIREMPAT PPS MASIH BEROPERASI, MB PUJI KERJASAMA AGENSI DAN NGO

EMPAT PPS MASIH BEROPERASI, MB PUJI KERJASAMA AGENSI DAN NGO

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi bantuan banjir sejak bencana melanda negeri itu pada 24 November 2025.

Beliau menyifatkan komitmen dan kerjasama ditunjukkan pelbagai agensi, pasukan keselamatan, sukarelawan dan masyarakat sebagai faktor utama kelancaran pengurusan bencana kali ini.

Ketika sidang media petang tadi, beliau memaklumkan bahawa setakat jam 4.00 petang, sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi dan menempatkan seramai 288 mangsa daripada 90 keluarga.

Setakat ini juga, seramai 7,587 mangsa melibatkan 2,267 keluarga telah ditempatkan di 24 PPS sepanjang tempoh bencana.

Dalam pada itu, Mohd Shukri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail, serta semua staf yang terlibat secara langsung dalam pengurusan banjir di peringkat negeri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang turut merakamkan penghargaan kepada NGO, sukarelawan, badan kebajikan serta pihak luar Perlis yang turun membantu dalam kerja-kerja pembersihan, pengagihan bantuan dan meringankan beban mangsa banjir.

“Kita amat menghargai bantuan mereka, dan hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa mereka,” ujarnya.

Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada para wartawan yang membuat liputan secara konsisten dan membantu memberikan maklumat tepat kepada rakyat.

Dalam pada itu, Mohd Shukri juga menegur keras tindakan segelintir pihak yang membuat panggilan palsu kepada agensi penyelamat semasa bencana.

“Mengganggu kelancaran kerja pihak berkuasa dengan panggilan palsu adalah amalan yang tidak baik.

Saya nasihatkan supaya insaflah,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh pemulihan pascabanjir.

Melalui kerjasama padu antara agensi kerajaan, pasukan penyelamat, NGO, sukarelawan dan masyarakat setempat, segala usaha pengurusan bencana dapat digerakkan dengan lebih teratur, efisien dan berkesan.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments