Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, YB Asrul Aimran Abd Jalil turun menyantuni mangsa-mangsa banjir di sekitar kawasan Kayang susulan banjir besar yang menjejaskan lebih 600 buah rumah dan melibatkan lebih 1,800 penduduk.
Beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) rasmi dan tidak rasmi seperti SK Panggau, SK Dato’ Wan Ahmad, Dewan 2020, Masjid Lama Batu 5, Dewan Kota Keran serta Surau Titi Tok Bandar menjadi tempat perlindungan utama bagi penduduk yang dipindahkan.
Dalam sesi lawatan tersebut, YB Asrul Aimran menzahirkan rasa simpati terhadap kesukaran yang dihadapi mangsa.
“Saya amat memahami beratnya ujian yang sedang dilalui penduduk Kayang.
Musibah ini bukan kecil, banyak rumah rosak, harta benda hilang,” katanya selepas meninjau kawasan terjejas.
Menurut beliau, pihaknya memastikan bantuan makanan, keperluan asas dan sokongan perubatan disalurkan segera dengan menekankan aspek keselamatan mangsa sebagai keutamaan.
Beliau turut meninjau beberapa kampung yang paling teruk terjejas termasuk Kg Tok Kuning, Kg Desa Permai, Kg Panggau, Kg Alor Tok Terang, Kg Hutan Melintang dan Kg Pengkalan Asam yang mencatatkan lebih 457 buah rumah dalam kategori kerosakan banjir besar.
Selain itu, YB Asrul Aimran turut mengunjungi beberapa dapur rakyat yang beroperasi menyediakan makanan kepada mangsa seperti di Markaz PAS Guar (Khidmat Malaysia), Srikandi Bersatu Batu Hampar dan Markaz PAS Telaga Idi.
Beliau menyeru penduduk agar kekal bersabar dan saling membantu dalam menghadapi ujian ini.
“Ini ujian, tetapi juga peluang untuk kita menunjukkan semangat kebersamaan.
Saya doakan semua mangsa diberi kekuatan.
Apa yang hilang, insya-Allah akan diganti dengan sesuatu yang lebih baik,” ujarnya.
