Monday, 19 January, 2026
HomeBANJIRAHLI PARLIMEN PADANG BESAR TERUS SALUR BANTUAN, KOMITED BANTU RAKYAT TERJEJAS BANJIR

AHLI PARLIMEN PADANG BESAR TERUS SALUR BANTUAN, KOMITED BANTU RAKYAT TERJEJAS BANJIR

Meskipun berdepan keterbatasan dana dan tanpa peruntukan khas bencana, Ahli Parlimen Padang Besar, YB Rushdan Rusmi, tetap komited menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh kawasan Parlimen Padang Besar melalui pengagihan hampir 500 pek makanan dan lawatan segera ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sejak Ahad, 23 November, pasukan beliau yang diketuai Pegawai Khas, Encik Mohd Syafiq, telah memulakan misi bantuan dengan menghantar barangan mentah seperti minyak masak, telur, rempah ratus, air mineral dan pelbagai bahan keperluan dapur ke Masjid Nurul Husna, Wang Kelian bagi menampung keperluan penduduk terjejas.

Penghantaran tersebut dilakukan dalam keadaan getir apabila laluan ke kawasan berkenaan terputus akibat pokok tumbang dan tanah runtuh, menyebabkan bantuan hanya dapat dibawa sehingga ke lokasi terakhir yang boleh dilalui sebelum penduduk datang mengambil bekalan tersebut menggunakan beberapa buah motosikal kerana kenderaan lain tidak mampu melepasi halangan.

Misi bantuan diteruskan pada Isnin, 24 November, dengan penghantaran pek makanan ke Sekolah Kebangsaan Felcra Lubuk Sireh, diikuti pada Selasa, 25 November, di Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup, menjadikan keseluruhan 120 pek makanan diedarkan di dua PPS tersebut melibatkan 120 keluarga.

Sehingga kini, hampir 500 pek makanan telah diagihkan di seluruh PPS sekitar Padang Besar dengan anggaran kos hampir RM10,000 yang dibiayai melalui sumber yang amat terhad.

Sejurus selesai menghadiri sidang Dewan Rakyat pada Rabu, 26 November, di Kuala Lumpur, Rushdan bergegas pulang ke Padang Besar untuk meninjau situasi sebenar dan bertemu penduduk di beberapa PPS termasuk SK Batu Bertangkup, SK Felcra Lubuk Sireh, SK Felda Mata Ayer, Dewan Felda Mata Ayer, SK Bukit Keteri, dan SK Guar Nangka bagi menilai keperluan semasa selain memastikan bantuan disalurkan secara teratur.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas keselamatan, sukarelawan dan penduduk setempat yang bekerjasama menjayakan operasi bantuan di semua PPS yang terlibat.

Menegaskan komitmen beliau, Rushdan berkata, “Kita akan terus berusaha, selagi ada keupayaan.

“Keutamaan kita adalah memastikan tiada keluarga yang tercicir daripada bantuan, walau sesukar mana keadaan,” tambahnya.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments