Keadaan banjir di Perlis memasuki tahap membimbangkan apabila lebih 850 mangsa daripada 254 keluarga kini dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 10 pagi tadi.
Enam PPS tersebut melibatkan SK Lubuk Sireh, SK Titi Tinggi, SK Felda Mata Ayer, Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer, Dewan Warisan, SK Guar Nangka dan SK Batu Bertangkup.
Kawasan utara negeri terutama Padang Besar kekal antara paling terjejas, dengan paras air meningkat akibat hujan berterusan yang melanda sejak malam semalam.
Di Wang Kelian, laluan utama masih terputus selepas laluan berbukit dari View Point ke kawasan kampung mengalami tanah runtuh, menjejaskan pergerakan penduduk serta memperlahankan proses pemindahan.
Beberapa lokasi pelancongan termasuk Gua Kelam turut ditutup sementara bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada pengunjung.
Paras air di beberapa sungai utama kini melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Jarum, Empangan Timah Tasoh, Sungai Chuchuh (Kampung Chantek), Sungai Buluh (Kg Batu Bertangkup) dan Sungai Arau.
Dengan hujan yang masih berlarutan, pihak berkuasa telah mempertingkat operasi menyelamat dan pemantauan di kawasan berisiko.
