Lawatan kerja YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, ke MIHAS@Shanghai 2025 diperkukuh dengan pelaksanaan lawatan balas rasmi ke State Power Industries Corporation (SPIC) dan State Nuclear Power Technologies Corporation (SNPTC) di Shanghai, China, pada 7 November 2025 yang lalu.
Lawatan ini diadakan atas jemputan pihak SPIC dan SNPTC, sebagai susulan kunjungan mereka ke Perlis pada 9 September lalu.
Delegasi Perlis diketuai oleh YAB Menteri Besar turut disertai oleh Tuan Alsyukri bin Hamzah, Pengarah Jabatan Pelaburan Industri, Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA).
Ketibaan delegasi disambut pimpinan tertinggi SPIC dan SNPTC yang diketuai Tuan Ma Mingjun, Naib Presiden SNPTC, serta Puan Yang Jingyu, Pengerusi ZKNES.
Sesi lawatan dimulai dengan mesyuarat kerja dan pembentangan operasi kumpulan SPIC.
Taklimat prospek pelaburan Negeri Perlis turut disampaikan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), sebelum delegasi dibawa meneliti sendiri operasi Kompleks Reaktor Nuklear kendalian SPIC dan SNPTC di Shanghai.
Sepanjang lawatan, delegasi diberi taklimat komprehensif mengenai keupayaan teknologi nuklear China dalam memenuhi permintaan tenaga negara itu yang terus meningkat.
Pihak SPIC dan SNPTC turut menyatakan hasrat untuk memperluas peluang kerjasama dengan Kerajaan Negeri Perlis, khususnya dalam aspek penjanaan tenaga hijau (green energy) yang boleh dimanfaatkan atau dieksport melalui keterhubungan grid tenaga ASEAN.
Mohd Shukri pada sesi tersebut menyatakan komitmen negeri untuk meneroka teknologi tenaga hijau berasaskan nuklear yang berpotensi membuka laluan pemindahan teknologi, penjanaan pelaburan baharu dan pewujudan peluang pekerjaan untuk rakyat Perlis.
Sebagai rujukan tambahan, SPIC yang ditubuhkan pada 2015 memiliki aset melebihi USD 159 bilion dengan 130,000 tenaga kerja, meliputi operasi kuasa hidro, terma, nuklear, angin, solar serta sektor elektrik, arang batu, logistik, kewangan dan aluminium.
SNPTC pula merupakan cabang penyelidikan dan pembangunan SPIC yang berperanan sebagai platform teknologi nuklear serta mengurus pemindahan teknologi rekabentuk loji nuklear, dengan aset melebihi USD 15 bilion.
