Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 yang berjaya menarik lebih 50,000 orang pengunjung sepanjang lima hari itu berjaya menjana pulangan ekonomi hampir RM200,000 kepada usahawan tempatan.
EXCO Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pembangunan Luar Bandar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pesta berkenaan memberikan limpahan manfaat kepada pengusaha makanan, penginapan dan perkhidmatan sokongan lain.
“Ia memberi kesan langsung kepada peniaga tempatan dan membuktikan pesta ini berpotensi dijadikan acara tahunan bertaraf antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup pesta berkenaan di Kuala Perlis.
Majlis penutup disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dengan turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Sebagai rekod, pesta air itu menghimpunkan peserta dari 11 negara dengan acara utama iaitu Perlawanan Perahu Naga membabitkan pasukan dari Thailand, Brunei, Filipina serta pasukan ekspatriat mewakili Australia, England, Syria, Brazil, Libya, Kanada, Amerika Syarikat dan Indonesia.
Selain pertandingan perahu, pesta turut dimeriahkan dengan sukan rakyat, persembahan kebudayaan serta pameran yang menyerlahkan identiti Melayu Perlis sebagai tarikan utama kepada pelancong dalam dan luar negara.
Abu Bakar berkata, antara kemuncak pesta berkenaan ialah pelancaran Perahu Diraja “Jarum Emas Putra Jamalullail” yang kini menjadi ikon baharu acara air negeri, selain pertandingan perahu panjang dan perahu naga yang menghidupkan suasana tepian laut Kuala Perlis.
Menurut beliau, acara sebegini bukan sahaja memperkukuh hubungan masyarakat setempat, malah membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan Perlis sebagai destinasi pelancongan pilihan di peringkat antarabangsa.