Kerajaan Negeri Perlis semalam meluluskan penubuhan Institut Strategik Perlisku Bestari (ISPB) sebagai badan pemikir rasmi negeri bagi memperkukuh dasar dan strategi pembangunan.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Exco di Kompleks Seri Putra, Kangar, semalam, dengan ISPB bakal menjadi pusat idea untuk membantu Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN).
“Institut ini akan bantu BPEN mendapatkan nasihat pakar mengikut bidang keperluan semasa.
“Ahlinya tidak terikat secara tetap, sebaliknya kita akan jemput pakar dari universiti atau pihak yang relevan, sama seperti model The Greater Kedah dan sebagainya,” katanya.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, ISPB akan berperanan sebagai jambatan antara kepakaran akademik, pengalaman profesional dan pentadbiran negeri.
Kerajaan negeri juga boleh menjemput pakar daripada institusi tempatan seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan mana-mana pihak lain yang berkelayakan.
“Kita boleh jemput siapa sahaja yang kita rasa perlu, Insya-Allah.
“Institut ini akan menjadi pusat idea bagi meneliti isu-isu pembangunan negeri,” ujarnya.
Penubuhan ISPB dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh keupayaan pentadbiran negeri, selain mempercepatkan pencapaian agenda pembangunan seiring visi Perlisku Bestari, Berkat dan Lestari.
