Tuesday, 23 September, 2025
HomeUmumPESTA AIR ANTARABANGSA TARIK PESERTA & PELANCONG LUAR, LONJAK EKONOMI PERLIS

PESTA AIR ANTARABANGSA TARIK PESERTA & PELANCONG LUAR, LONJAK EKONOMI PERLIS

Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 yang bermula 12 hingga 16 September ini menyaksikan penyertaan 11 negara, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri Perlis.

EXCO Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, acara utama iaitu Perlawanan Perahu Naga disertai pasukan dari Thailand, Brunei, Filipina serta pasukan ekspatriat mewakili Australia, England, Syria, Brazil, Libya, Kanada, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Menurutnya, sebanyak 55 pasukan termasuk agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pasukan antarabangsa berentap dalam kategori perahu naga, menjadikan penganjuran kali ini antara yang terbesar pernah diadakan.

Majlis perasmian telah berlangsung di Kuala Perlis dan disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Abu Bakar berkata pesta ini bukan sahaja mengangkat Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan air, malah memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, khususnya pengusaha makanan, penginapan dan kraf tangan.

“Acara sebegini memberi peluang kepada peniaga kecil dan komuniti tempatan untuk meraih pendapatan tambahan menerusi kehadiran ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.

Selain perlumbaan antarabangsa, pertandingan perahu tradisional yang membabitkan 15 kampung sekitar Kuala Perlis turut dianjurkan, di samping sukan rakyat seperti pukul bantal, panjat tiang licin dan menjala ikan bagi mengekalkan identiti tempatan.

Sementara itu, Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, menjadi harapan kerajaan negeri agar acara tersebut mendapat perhatian Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya untuk didaftarkan dalam kalendar rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments