Thursday, 27 November, 2025
HomeWanitaPERLIS SAMBUT HARI SAYYIDATINA ASMA

PERLIS SAMBUT HARI SAYYIDATINA ASMA

Dewan Sivik Arau semalam menjadi saksi kehangatan kasih dan semangat kekeluargaan apabila Kerajaan Negeri Perlis menganjurkan Sambutan Hari Sayyidatina Asma dan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 (BKK25) peringkat negeri, disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis yang bertemakan “Kasih Keluarga, Bahagia Bersama” itu turut dihadiri oleh YB Puan Wan Badariah Wan Saad, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan dan Alam Sekitar Negeri Perlis yang menyampaikan ucapan aluan mewakili pihak penganjur.

Dalam ucapannya, Wan Badariah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis serta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) atas komitmen dan kerjasama menganjurkan pelbagai program sepanjang bulan November ini bagi memperkukuh institusi keluarga di negeri itu.

“Wanita ialah tonggak keluarga, masyarakat dan negara.

“Keberanian serta sumbangan mereka menjadi pendorong kepada kemajuan dan kesejahteraan negara,” ujar beliau sambil menekankan pengiktirafan kepada tokoh wanita menerusi Anugerah Sayyidatina Asma, yang menunjukkan simbol ketabahan dan pengorbanan wanita yang berjiwa besar.

Sambutan kali ini turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan family bonding seperti Funrobik Kasih Keluarga, Family Fun Walk, pertandingan mewarna, sesi diskusi “Kita Kan Keluarga!” serta Karnival Kasih Keluarga yang menyediakan perkhidmatan komuniti dan kesejahteraan keluarga secara percuma.

Mengulas lanjut, Wan Badariah turut berkongsi hasil Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) bagi tahun 2022 yang menunjukkan skor 7.95 bagi negeri Perlis, sedikit menurun berbanding 7.99 pada 2019, terutama dalam domain kualiti masa bersama keluarga dan imbangan kerja-keluarga.

“Penurunan ini harus menjadi isyarat agar kita kembali menilai semula masa dan perhatian terhadap keluarga.

“Kasih sayang sesama ahli keluarga adalah percuma, namun nilainya amat mahal,” tegas beliau.

Menurutnya, keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 November 2023 yang menjadikan Hari Keluarga sebagai acara tahunan di semua agensi kerajaan perlu diterjemahkan oleh seluruh Keluarga Besar Perlis melalui aktiviti kekeluargaan yang memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Wan Badariah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Pertubuhan Perundingan Wanita Perlis, Persatuan Peguam Syarie Malaysia Perlis serta rakan strategik yang menganjurkan program Women’s Talk bagi memperkasa peranan wanita dan kesedaran hak dalam pelbagai aspek kehidupan.

Majlis itu turut diwarnai dengan semangat kekeluargaan, jualan produk tempatan serta pameran komuniti oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta, menjadikan sambutan kali ini satu simbol penyatuan dan kasih sejati dalam keluarga Perlis yang sejahtera.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments