Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Perlis dan agensi berkaitan terus mempergiat usaha memperkasa golongan wanita melalui pelbagai program, khidmat, bantuan dan inisiatif merangkumi aspek sosioekonomi, kesihatan, pendidikan serta kesejahteraan keluarga.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Badariah Wan Saad dalam ucapan penggulungannya sempena Hari Kedua, Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-15 hari ini.
Antara usaha signifikan ialah pelaksanaan Program LaWa On-The-Go yang merangkumi aktiviti Rainbow Salad: Wanita Sihat Hidup Ceria dan Sulam Reben Kreatif, Jana Pendapatan Aktif, bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan serta menjana pendapatan sampingan dalam kalangan wanita.
Di samping itu, wanita Perlis turut diperkasa melalui program digital dan kemahiran seperti Maxis eKelas Usahawan@JPW, Kelas Fotografi Asas Canon, serta Program Kemahiran Penjanaan Pendapatan (KIRANA) yang membuka ruang keusahawanan mikro dan pembangunan kendiri.
Menurutnya, aspek kesedaran sosial dan kesejahteraan emosi juga diberi perhatian melalui program seperti Bipolar: Menyusuri Jalanan 2 Identiti, Mendidik dengan Ilmu: Kasih Ibu Tanpa Sempadan, serta Kesan Oversharing: Gangguan Lisan & Visual, yang memberi kefahaman tentang cabaran psikososial dalam kehidupan moden.
Turut dilaksanakan, program kesedaran perundangan dan hak wanita seperti Cerai Luar Mahkamah: Konteks Wanita, Celik Hak: Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS), dan Ceramah Keganasan Rumah Tangga, selari dengan usaha kerajaan negeri meningkatkan literasi undang-undang dalam kalangan masyarakat.
Bagi memperkasa bakat kepimpinan, Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) memberi pendedahan awal kepada wanita muda untuk menyumbang secara aktif dalam sektor awam dan komuniti.
JPW juga menyediakan pelbagai bentuk sokongan seperti khidmat rujukan, aduan, pra-kaunseling, semakan bantuan, penyelarasan dokumen dan pemantauan permohonan Bantuan Khas Perbendaharaan bagi memastikan tiada wanita yang tercicir daripada akses perkhidmatan kerajaan.
Dalam bidang kesihatan wanita pula, Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) anjuran LPPKN menyediakan saringan mamogram, ujian HPV DNA dan Pakej Saringan Kesihatan secara percuma sebagai langkah pencegahan awal penyakit kritikal.
Wan Badariah turut memaklumkan bahawa sambutan Hari Bapa, Hari Penduduk Sedunia pada 11 Ogos, dan Hari Keluarga Kebangsaan pada November akan dimanfaatkan sebagai platform advokasi peranan keluarga dan pembinaan institusi kekeluargaan yang kukuh.
Selain itu, LPPKN juga menawarkan perkhidmatan kaunseling keluarga percuma menerusi Program KASIH Remaja: Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (SRH), Program Bantuan IUI dan Advokasi Infertiliti (BuAI), manakala khidmat berbayar termasuk Kursus Ilmu Keluarga, perkhidmatan perancang keluarga serta ujian Pap Smear secara berkala.
Sebagai langkah memperkukuh ekosistem keselamatan sosial, kerajaan negeri menyokong pelaksanaan Skuad WAJA oleh JPW serta Kempen EVAW oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM) dalam usaha menangani keganasan terhadap wanita.
Manakala platform dialog wanita seperti Women’s Talk Siri 1: Hakmu Dijaga Syariah, Wanita Kenalilah Nilaimu turut digerakkan untuk memberi pencerahan tentang hak-hak wanita dari sudut agama dan perundangan.
Sebagai penghargaan kepada jasa golongan ibu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM2,000 bagi Anugerah Inspirasi Ibu 2025 Peringkat Negeri Perlis sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini.
Jelasnya, semua langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan sistem sokongan holistik dan berimpak tinggi untuk wanita Perlis — dari aspek kesihatan, ekonomi, perlindungan, pendidikan hingga ke pembangunan keluarga.
