Ekonomi Perlis terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat sebanyak 3.3 peratus bagi tahun 2024.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan pada Julai 2025, nilai KDNK Perlis kini mencecah RM6.5 bilion, meningkat RM0.2 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri dengan kadar 70.4 peratus, diikuti sektor pertanian (17.8 peratus) dan pembuatan (7.5 peratus).
Sementara itu, sektor pembinaan dan perlombongan masing-masing menyumbang 2.8 peratus dan 0.5 peratus kepada keseluruhan KDNK.
KDNK per kapita juga menunjukkan peningkatan kepada RM24,695 pada tahun 2024, naik sebanyak RM556.70 berbanding tahun sebelumnya.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pencapaian ini menjadi petanda kukuh terhadap hala tuju pembangunan negeri yang semakin stabil menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada tahun 2026 hingga 2030.
Beliau menjelaskan, RMK-13 disasarkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 5.5 peratus, dengan fokus kepada pembangunan industri bernilai tinggi (High Growth High Value), sektor strategik berimpak tinggi dan kluster ekonomi berskala besar.
Selain itu, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup, memperkasakan kawasan luar bandar dan memastikan pembangunan lebih seimbang di seluruh negeri.
“Komitmen kerajaan negeri ialah memastikan pertumbuhan ekonomi bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi benar-benar memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat,” tegas beliau dalam ucapannya sempena Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis pada 2 Oktober yang lalu.
Mohd Shukri menyatakan, setiap dasar dan pelan pembangunan negeri akan terus berteraskan prinsip kesejahteraan menyeluruh agar manfaat kemajuan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa terkecuali.