Majlis Sambutan Hari Warga Emas, Kanak-Kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Perlis 2025 telah berlangsung dengan penuh bermakna di UiTM Arau pada Sabtu lalu, diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam ucapan YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, beliau menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis atas penganjuran program yang disifatkan sebagai wadah memperingati tiga kelompok penting dalam masyarakat iaitu warga emas, kanak-kanak dan OKU.
Katanya, majlis tahunan ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi sebagai peringatan bahawa setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia, status atau keadaan, perlu diberikan perhatian dan penghargaan sewajarnya.
Menurutnya, warga emas merupakan tonggak pengalaman dan kebijaksanaan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Oleh itu, masyarakat perlu terus menghormati dan memastikan mereka menikmati kehidupan yang bermaruah dan sejahtera.
“Kerajaan negeri sentiasa komited memperkenalkan pelbagai program bagi mempertingkatkan kualiti hidup warga emas, termasuk aspek kesihatan, rekreasi dan penglibatan sosial agar mereka terus aktif dan dihargai,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kanak-kanak adalah harapan masa depan negara yang perlu dibentuk dengan kasih sayang dan nilai murni, serta dilindungi daripada segala bentuk ancaman fizikal dan mental.
“Kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif melalui bantuan pendidikan, program pembelajaran digital, serta penubuhan pusat jagaan kanak-kanak yang mesra keluarga bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara,” jelas beliau.
Menyentuh tentang golongan OKU, Mohd Shukri menegaskan bahawa mereka adalah insan istimewa yang wajar diberi peluang sama rata dalam pendidikan, pekerjaan dan kehidupan sosial.
“Golongan OKU bukanlah kelompok yang harus dikasihani, tetapi mereka adalah individu berpotensi besar yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri jika diberi ruang dan sokongan yang sewajarnya,” ujarnya.
Beliau turut menambah bahawa kerajaan negeri terus berusaha memperkukuh inisiatif mesra OKU termasuk kemudahan awam, perkhidmatan kesihatan inklusif dan latihan kemahiran bagi membantu mereka berdikari.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, NGO dan masyarakat untuk berganding bahu mewujudkan masyarakat Perlis yang inklusif, penyayang dan prihatin terhadap kebajikan warga emas, kanak-kanak serta OKU.
“Marilah kita bersama menyemai semangat kasih sayang dan hormat terhadap golongan yang memerlukan ini agar Perlis terus makmur dengan nilai kemanusiaan dan keadilan,” katanya.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk peserta warga emas, kanak-kanak dan OKU yang diraikan dengan pelbagai pengisian menarik serta penyampaian sumbangan kebajikan.