Wednesday, 15 October, 2025
HomeModal InsanLEBIH 300 ORANG SERTAI SEMINAR PEMBANGUNAN MODAL INSAN

LEBIH 300 ORANG SERTAI SEMINAR PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Lebih 300 orang peserta terdiri daripada pelajar dan ibu bapa menyertai Seminar Pembangunan Modal Insan: Keluargaku Bestari, Masyarakat Lestari yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar pada 4 Oktober 2025, Sabtu.

Program anjuran di bawah portfolio Pembangunan Insan ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Islam Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri, serta Jabatan Pendakwaan Syariah.

Menurut EXCO Hal Ehwal Agama, Ustaz Azmir Azizan, seminar ini menjadi platform penting dalam membentuk keluarga rabbani yang mampu melahirkan masyarakat harmoni dan lestari.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 300 peserta, yang menunjukkan komitmen masyarakat terhadap usaha memperkukuh institusi keluarga berteraskan nilai Islam.

Program yang bermula pada jam 8.00 pagi itu menampilkan pelbagai slot menarik antaranya “Solat Membentuk Jiwa Rabbani, Masyarakat Harmoni” oleh Ustaz Hanafi bin Zakariya dari Jabatan Mufti Negeri Perlis, serta “Kisah dan Tarannum” oleh Ustaz Haji Azraie bin Haji Abdul Hak dan keluarga yang hadir khas dari Melaka bagi mempersembahkan bacaan al-Quran serta perkongsian keluarga rabbani.

Turut menyerikan program, Ustaz Nabil Ahmad, Pengurus Pematuhan Syariah Al-Hijrah Media Corp, bersama ibunda beliau yang berkongsi kisah tarbiah almarhum ayahandanya, Tuan Haji Din bin Wan Awang, dalam slot bertajuk “Tarbiyah Melahirkan Generasi Rabbani”.

Majlis turut disempurnakan dengan titah Diraja Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis serta DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis, disusuli sesi penyampaian cenderamata kepada para pengisi slot dan sesi bergambar.

Ustaz Azmir dalam ucapannya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini secara langsung dan tidak langsung, serta menyatakan hasrat untuk meneruskan penganjuran Siri Kedua Seminar Pembangunan Modal Insan dalam masa terdekat.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments