Kerajaan Negeri Perlis, semalam, melancarkan Skim Kafalah Perlis, satu inisiatif bantuan khairat kematian bernilai RM500 yang terbuka kepada semua kaum dan agama.
Menerusi skim tersebut, keluarga miskin tegar yang berdaftar dengan e-Kasih atau disahkan sebagai asnaf oleh wakil rakyat serta Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) layak menerima bantuan itu bagi meringankan kos pengurusan jenazah.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli di Dewan Residensi Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis.
Dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta setahun untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya ketika diuji dengan kehilangan ahli keluarga.
“Kita berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada keluarga si mati khususnya bagi pengurusan jenazah,” katanya
Menurut Mohd Shukri, permohonan skim boleh dibuat melalui Yayasan Islam Perlis (YIPs) dengan borang yang disediakan, sebelum disemak dan diproses dalam tempoh tiga minggu.
Beliau menambah, kadar bantuan skim berkenaan juga dijangka ditingkatkan pada masa hadapan bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.
“Pelaksanaan ini menunjukkan lambang kesungguhan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa diskriminasi, sekaligus menepati janji manifesto Perikatan Nasional (PN) semasa PRU15,” ujarnya.