Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) terus memperkukuh inisiatif halal negeri dengan menganjurkan Mesyuarat Penyelarasan Projek Zon Patuh di Premis Makanan Padang Besar yang berlangsung di Dewan Syura, Aras 2, JAIPs.
Mesyuarat ini bertujuan menyelaras pelaksanaan projek Zon Patuh yang akan dilaksanakan di premis makanan terpilih sekitar Padang Besar pada hujung September nanti.
Usaha ini digerakkan bagi memastikan semua premis makanan di kawasan tersebut mematuhi konsep Halalan Toiyyiban dalam aspek penyediaan, kebersihan serta pematuhan piawaian halal.
Projek rintis ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Majlis Perbandaran Kangar (MPK), serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Menurut JAIPs, pelaksanaan Zon Patuh bukan sahaja dapat memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap industri makanan halal, malah diharap mampu meningkatkan jumlah permohonan pensijilan halal Malaysia di negeri Perlis.
Dengan terlaksananya projek ini, Perlis dijangka dapat menjadi model negeri yang konsisten dalam menjaga kepatuhan halal, sekali gus menyokong aspirasi negara sebagai hab halal global.