Kerajaan Negeri Perlis terus komited dalam memperkasa bidang hiburan dan nyanyian dengan pendekatan yang lebih tersusun, beradab, dan selaras dengan nilai-nilai Islam dan budaya tempatan.
YB Muhammad Azmir Azizan telah mengadakan satu pertemuan bersama wakil-wakil daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Islam Perlis (YIPs) serta saudara Ustaz Fitri Alawee, penyanyi nasyid yang juga merupakan anak jati negeri ini.
Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan ruang dan bentuk penambahbaikan dalam penganjuran hiburan dan persembahan nyanyian di negeri Perlis.
Menurut Muhammad Azmir, Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun apa yang penting adalah bentuk hiburan dan nyanyian itu sendiri, sama ada ia membina jiwa atau melalaikan.
“Kita tidak mahu menutup ruang seni, tetapi kita mahu menyantuninya. Kita ingin melihat hiburan yang mendidik, menyegarkan jiwa, dan tidak bercanggah dengan prinsip akhlak dan adab Islam,” jelas beliau.
Kerajaan Negeri turut menyatakan hasrat untuk mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi seni serta pemain-pemain industri hiburan dalam masa terdekat, bagi memperkukuh serta menambah baik garis panduan hiburan yang sedia ada.
Tujuannya adalah untuk memastikan aktiviti hiburan dan persembahan nyanyian di Perlis berjalan secara lebih teratur dan memelihara sensitiviti masyarakat setempat terutamanya umat Islam.
Penambahbaikan ini diharap akan menjadikan Perlis sebagai negeri contoh dalam mengimbangkan antara hiburan dan nilai-nilai murni yang menjadi teras masyarakat.