Agenda pembangunan Kerajaan Negeri Perlis tidak hanya menumpukan kepada projek mega, sebaliknya turut memberi perhatian kepada kesejahteraan rakyat melalui penyediaan perumahan berkualiti dan mampu milik.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, perkara itu dizahirkan dengan penyerahan surat tawaran Rumah Mesra Rakyat Negeri Perlis 2025 kepada penerima terpilih pada majlis pagi semalam.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja merancang projek berimpak tinggi, tetapi juga menjaga kebajikan rakyat dengan menyediakan perumahan yang selesa dan berdaya huni”.
Beliau berkata sedemikian dalam Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSN Perlis 2040 (Kajian Semula) dan Majlis Pelancaran Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 di Dewan 2020, Kangar, semalam.
Beliau menegaskan bahawa visi pembangunan negeri mestilah berpaksikan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan agar seluruh lapisan masyarakat merasai manfaatnya.
“Rakyat mesti disantuni dan kebajikan mereka dipelihara.
“Inilah agenda utama kerajaan negeri dalam setiap perancangan pembangunan,” tegas beliau.