YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli hari ini turun padang ke Kampung Kota Keran, Kayang bagi menyalurkan bantuan banjir kepada 17 keluarga melibatkan 52 mangsa yang terjejas.
Laluan masuk ke kawasan tersebut agak mencabar selepas paras air meningkat tinggi dengan arus deras, ditambah hujan lebat berterusan.
Namun, operasi bantuan tetap diteruskan dengan selamat bersama pasukan penyelamat dan sukarelawan yang terdiri daripada Khidmat Malaysia cawangan Perlis, Isteri beliau, Puan Najwa Othman, serta ahli Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Kayang.
Ketibaan beliau disambut penduduk dengan rasa lega susulan mereka berdepan kehabisan bekalan asas, terutama stok beras. Bantuan segera diagihkan bagi meringankan beban keluarga terkesan.
Selain itu, turut disampaikan sumbangan makanan travel pack daripada Yayasan Birrul Walidain bagi memastikan mangsa mempunyai bekalan mencukupi sepanjang tempoh kecemasan.
Kerajaan Negeri memaklumkan bahawa pemantauan akan dilakukan secara berterusan dan bantuan tambahan akan digerakkan mengikut keperluan.
