Perlis dijangka bakal memiliki lapangan terbang komersilnya sendiri di Chuping, Padang Besar, sekali gus membuka lembaran baharu dalam sektor pelancongan dan pelaburan negeri itu.
Cadangan tersebut terkandung dalam Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perlis 2040 (Kajian Semula) yang merangkumi lima teras utama, 14 hala tuju strategik, 65 strategi perancangan serta 256 inisiatif pelaksanaan.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, projek itu disaran sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail agar lokasinya berhampiran sempadan Thailand bagi manfaat rakyat serta pelancong kedua-dua negara.
“Perlis kini sedang bergerak ke arah itu (pembinaan lapangan terbang).
“Insya-Allah, ia boleh dicapai menjelang 2040 dengan tujuan bukan sahaja untuk penerbangan komersil, malah menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.
“Pesawat komersil seperti Boeing 737 dijangka mampu beroperasi di lapangan terbang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSN Perlis 2040 (Kajian Semula) serta Majlis Pelancaran Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 di Dewan 2020, semalam.
Turut hadir, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil, Pengarah PLANMalaysia Perlis, Dr Mohamad Sabri Ahmad, Pengerusi Suruhanjaya Perumahan Nasional Berhad (SPNB), Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar, Affendi Rajini Kanth.
Menurut Mohd Shukri, Perlis dan Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang belum mempunyai lapangan terbang komersil.
Justeru, cadangan ini bakal menjadi pemangkin aksesibiliti antarabangsa rentas sempadan dan domestik.
Selain projek lapangan terbang, beberapa cadangan lain turut digariskan dalam draf tersebut termasuk pembinaan ‘bonded road’ Padang Besar-Pelabuhan Darat Perlis (PIP), perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Padang Besar ke Johor Bahru, cadangan Asean Express Freight Train dari Kelana Jaya ke Chongqing, China serta Lebuh Raya Koridor Utara Padang Besar-Bukit Kayu Hitam.
Inisiatif lain yang dirancang ialah cadangan Pelabuhan Sanglang, Transit Hub Perlis Sentral, pembinaan stesen konsep Transit Oriented Development (TOD) di Padang Besar, Bukit Keteri dan Arau, laluan baharu kereta api barang serta perkhidmatan Automated Rapid Transit (ART).
Terdahulu, Mohd Shukri turut menyerahkan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat Negeri Perlis 2025 oleh SPNB kepada penerima yang terpilih.