ADUN Beseri, YB Haziq Asyraf, menzahirkan penghargaan kepada anak muda dari Kampung Wang Kelian dan Kampung Tasoh yang bertindak sebagai tulang belakang operasi bantuan banjir, meskipun laluan terputus dan keadaan cuaca tidak menentu.
Dalam misi bantuan malam semalam, pasukan sukarelawan bersama Haziq Asyraf turun padang sekali lagi untuk menyediakan dan menghantar makanan kepada kira-kira 150 penduduk.
Bekalan merangkumi telur, sardin, ayam serta keperluan asas lain, yang dihantar dengan berjalan kaki berikutan laluan yang tidak dapat dilalui kenderaan.
Rakaman suasana di lapangan menunjukkan petugas terpaksa meredah kawasan jalan terputus serta beberapa lokasi yang ditimpa pokok tumbang.
Namun semangat mereka tidak terjejas, malah terus gigih memastikan semua keluarga menerima bantuan tepat pada masanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada anak muda Kampung Wang Kelian yang berani mengambil risiko sebagai penghubung antara sumbangan luar dan penduduk kampung.
“Terima kasih kepada semua anak muda Wang Kelian.
Walaupun keadaan mencabar, kalian tetap bantu pastikan barang sampai kepada orang kampung.
Semoga sumbangan ini dapat membantu walau tidak seberapa,” katanya.
Di Kampung Tasoh pula, Haziq Asyraf menyantuni sekumpulan anak muda yang membantu mengangkat barang rumah ke rumah sejak pagi.
“Depa geng moto, tapi depa jugak yang berbakti pada orang kampung dikala kesusahan.
Hangpa memang terbaik,” ujar beliau.
Dua hari sebelum itu, YB Haziq turut turun ke Wang Kelian bagi menghantar bantuan tambahan kerana kawasan tersebut antara yang paling terkesan apabila jalan perhubungan mula terputus.
Komitmen anak muda dan kesungguhan masyarakat setempat ini sekali lagi membuktikan bahawa solidariti dan semangat gotong-royong tetap menjadi kekuatan utama penduduk Beseri dalam mendepani bencana.
