Ahli Parlimen Arau, YB Shahidan Kassim, semalam meninjau beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk UNIMAP Kubang Gajah, SK Tambun Tulang dan Kampung Behor Gelam bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir yang ditempatkan sejak beberapa hari lalu.
Dalam lawatan tersebut, beliau meluahkan rasa syukur apabila kebanyakan mangsa masih mampu tersenyum meskipun berdepan ujian berat akibat banjir.
Beliau turut menzahirkan harapan agar semua keluarga yang terjejas dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat setelah keadaan kembali pulih.
Semalam juga, Shahidan Kassim memantau operasi Bilik Gerakan Bencana Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang bertanggungjawab menyediakan makanan kepada semua PPS di sekitar Arau.
Beliau turut membantu di PPS Dewan Seri Semarak, Anjung Siswa UNIMAP Kubang Gajah dan UNIMAP Ulu Pauh.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana keluarga yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan supaya segera berpindah ke PPS terdekat.
Tindakan awal bukan sahaja menjamin keselamatan, malah memastikan bantuan dapat disalurkan dengan teratur tanpa ada mangsa yang tercicir.
Beliau turut memohon agar mana-mana mangsa yang masih memerlukan bantuan segera memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab.
Ahli Parlimen Arau itu mendoakan agar urusan semua mangsa banjir di seluruh negara dipermudahkan, diberi kekuatan menghadapi ujian serta dilindungi daripada sebarang kesulitan.
“Dalam situasi seperti ini, kekuatan rakyat sentiasa lahir apabila kita berdiri bersama menghulur tangan, memberi harapan, dan memastikan tiada siapa yang ditinggalkan,” katanya.
Semoga seluruh keluarga yang terjejas diberi perlindungan dan dipermudah segala urusan.
