Usaha membantu mangsa banjir di DUN Bintong diteruskan semalam apabila ADUN Bintong, YB Fakhrul Anwar bersama Pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) turun ke lapangan bagi menyantuni penduduk terjejas di PPS SK Behor Empiang, Kampung Belanga Pudak, Kampung Jarak, Surau Tebing Tinggi dan Surau Wang Besar.
Kesemua lokasi ini menerima edaran makanan yang memfokuskan kepada warga emas, pesakit terlantar serta anak-anak kecil yang paling terkesan akibat banjir.
Dalam lawatan tersebut, Fakhrul Anwar turut menerima aduan bahawa terdapat beberapa kawasan yang masih kekurangan bekalan makanan.
Beliau menzahirkan rasa prihatin dan memberi jaminan bahawa PKWR DUN Bintong akan mengusahakan penambahan bantuan serta memastikan golongan paling memerlukan menerima bantuan terlebih dahulu.
Beliau yang sejak semalam turut bersama Team Dapur Rakyat di Padang Kota menyatakan komitmen untuk memastikan bekalan makanan terus diagihkan secara konsisten mengikut keperluan di lapangan.
Turut serta dalam misi semalam ialah Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar yang membantu mengagihkan makanan melalui MPKK kampung di kawasan-kawasan terjejas.
Fakhrul Anwar menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap semua mangsa, selain mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan kesabaran serta dilindungi daripada segala musibah.
“Semoga Allah SWT mempermudah urusan semua mangsa banjir, melapangkan rezeki dan menggantikan segala kesusahan dengan ketenangan.
“Kami akan terus berusaha sebaik mungkin untuk membantu,” katanya.
Beliau berharap air banjir segera surut dan keadaan kembali pulih seperti sediakala.
Bantuan akan diteruskan dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan di lapangan.
