Seramai lapan waris telah menerima bantuan di bawah Skim Kafalah DUN Sanglang yang berlangsung di Markas PAS Kuala Sungai Padang, di sini, pada Jumaat lalu.
Setiap waris menerima RM500 sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap keluarga yang kehilangan ahli tersayang.
Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pelaksanaan skim tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi membantu rakyat Perlis dalam golongan B40 tanpa mengira bangsa dan agama.
“Kadang-kadang kita bimbang dana tak cukup untuk bantu semua, tapi selepas berbincang dengan pegawai kewangan negeri, insya-Allah kita cuba juga teruskan pemberian RM500 ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa bantuan ini bertujuan memastikan tiada keluarga yang terpinggir atau berdepan kesempitan hidup, termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
Menurut beliau lagi, perkara tersebut turut dibincangkan dalam pertemuan bersama wakil masyarakat India pada pagi yang sama, di mana mereka memberi reaksi positif terhadap pelaksanaan skim ini serta menyatakan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri.
Selain bantuan kepada waris, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan tanpa faedah bagi anak-anak Perlis yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sebagai usaha memastikan kebajikan dan masa depan rakyat terus terbela.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 50 orang termasuk Pengarah Yayasan Islam Perlis (YIPs), Tuan Noorhamizi Mohd Yaacob, serta wakil Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) DUN Sanglang.
