Pejabat Menteri Besar Perlis meneruskan pelaksanaan inisiatif Ziarah Kasih sebagai usaha menyantuni rakyat yang sedang berdepan ujian kehidupan, termasuk pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.
Dalam ziarah berkenaan, Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Perlis, Encik Mustaqim, bersama Pegawai Khas Puan Syahirah dan Puan Norhasmayati, turut hadir menziarahi pasangan Encik Raimy dan isterinya, Puan Aina, di kediaman mereka.
Turut serta dalam ziarah ini ialah Pengerusi MPKK Behor Empiang, Encik Shuhaidi bin Mat Saad, wakil komuniti setempat, Puan Rasnah binti Md Arshad, serta Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Puan Noraini yang mewakili Exco Kebajikan bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga tersebut.
Difahamkan, Puan Aina mengalami kecederaan parah di 11 bahagian tubuh, manakala suaminya turut cedera dan patah di dua bahagian akibat kemalangan berkenaan.
Akibat kecederaan serius itu, pergerakan Puan Aina kini sangat terhad dan mereka terpaksa menyewa ambulans bagi mendapatkan rawatan susulan.
Kesan daripada keadaan tersebut, pendapatan keluarga turut terjejas, memaksa mereka menggunakan simpanan sedia ada bagi menampung keperluan harian dan kos rawatan.
Melalui program ini, Pejabat Menteri Besar Perlis berusaha membantu mempermudah urusan rawatan serta kebajikan pasangan berkenaan agar beban yang ditanggung dapat diringankan.
Turut dirakam penghargaan kepada Pusat Khidmat Wakil Rakyat Bintong atas kerjasama menjayakan inisiatif ini.
Orang ramai diseru bersama-sama mendoakan agar pasangan ini segera sembuh dan terus tabah menghadapi ujian yang menimpa, kerana setiap kesusahan pasti hadir bersama rahmat yang menanti.
