Pada hari Sabtu, 20 September 2025 baru-baru ini, YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli telah merasmikan Pertandingan Sukan Paintball Tertutup antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis.
Pertandingan itu berlangsung di Dataran Paintball UniMAP Kubang Gajah bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2025.
Majlis perasmian tersebut disertai pegawai kanan kerajaan negeri, wakil rakyat serta warga pentadbiran yang mengambil bahagian dalam pertandingan berpasukan berkenaan.
Dalam ucapannya, Menteri Besar menekankan kepentingan semangat kesukanan, aspek keselamatan serta pengalaman berharga yang dapat dikongsi peserta sepanjang pertandingan.
Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan bukanlah ukuran utama, sebaliknya pertandingan ini berperanan memperkukuh persahabatan serta kerjasama antara wakil rakyat dan penjawat awam negeri.
“Menang atau kalah bukan ukuran, sebaliknya persahabatan dan kerjasama adalah kemenangan sebenar dan merupakan objektif utama program pada hari ini,” katanya.
Pertandingan paintball yang berlangsung penuh keterujaan itu menjadi simbol kebersamaan sempena Hari Malaysia, selain menjadi platform dalam mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri dengan warga pentadbiran.