Tuesday, 23 September, 2025
HomeUmumMODEL SG4 JADI INSPIRASI STRATEGIK RANTAU ASIA TENGGARA

MODEL SG4 JADI INSPIRASI STRATEGIK RANTAU ASIA TENGGARA

Model kerjasama empat negeri pembangkang yang dikenali sebagai SG4 berpotensi menjadi inspirasi strategik untuk rantau Asia Tenggara dalam memperkukuh solidariti Palestin serta menggerakkan agenda pembangunan Islam secara menyeluruh.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam sesi perbincangan khas sempena Muslim Ummah International Forum (Munif) 2025 yang berlangsung di BDB Darulaman Golf Resort, Kedah hari ini.

Program itu menghimpunkan 100 peserta termasuk tokoh panel antarabangsa bagi membincangkan isu solidariti ummah di peringkat global.

Menurut beliau, SG4 yang diterajui negeri-negeri pembangkang PAS di Malaysia telah membuktikan bagaimana kekuatan kolektif boleh digerakkan meskipun berdepan keterbatasan kuasa pusat. Inisiatif berasaskan pembangunan Islam, pengukuhan pendidikan, ekonomi halal, dan solidariti masyarakat ini boleh dijadikan rujukan kerjasama lintas negara di Asia Tenggara.

“Jika negeri-negeri dalam Malaysia mampu membentuk kerangka solidariti dinamik melalui SG4, rantau ini juga mampu membina Blok Solidariti Asia Tenggara untuk Palestin yang lebih tersusun,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi tonggak SG4, dengan universiti serta sekolah di negeri terbabit mengintegrasikan isu Palestin dalam program kesedaran, kajian akademik, dan aktiviti pelajar.

Model ini, katanya, boleh diperluas ke peringkat ASEAN melalui pembentukan Konsortium Akademik Asia Tenggara-Palestin bagi menghasilkan penyelidikan dan naratif alternatif terhadap propaganda Zionis.

Dalam bidang ekonomi, SG4 menekankan ketahanan industri halal, koperasi, dan agihan zakat.

Strategi ini, jelasnya, boleh dijadikan asas kepada penubuhan Tabung Waqaf Asia Tenggara-Palestin untuk membiayai bantuan kemanusiaan serta menyokong agenda BDS di rantau ini.

Selain itu, pendekatan media dan diplomasi rakyat yang digerakkan SG4 boleh diperluas melalui penubuhan Southeast Asia Media Collective for Palestine, bagi memastikan liputan konsisten serta menyaingi dominasi media pro-Zionis.

Beliau turut mencadangkan agar Parlimen negara-negara ASEAN menubuhkan Kaukus Parlimen untuk Palestin bagi menyelaras suara rantau ini di forum antarabangsa seperti OIC, NAM, dan PBB.

“SG4 juga memberi ruang besar kepada masyarakat sivil dan NGO sebagai pelaksana utama.

“Jika dilaksanakan di peringkat Asia Tenggara, jaringan Sumud Nusantara boleh menghimpunkan NGO, belia, dan cendekiawan serantau agar solidariti benar-benar melibatkan masyarakat akar umbi,” ujar beliau.

Forum berkenaan turut menegaskan bahawa model SG4 berpotensi melahirkan diplomasi multinasional yang tidak hanya bertumpu kepada kerajaan pusat, sebaliknya digerakkan bersama oleh negeri, wilayah, dan masyarakat sivil.

Pendekatan ini diyakini mampu menjadikan solidariti moral terhadap Palestin sebagai tindakan strategik berimpak tinggi.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments