Perlis bakal mempunyai pawagam patuh syariah apabila sebuah pusat beli-belah terbesar negeri itu, Kangar Jaya Mall dijangka beroperasi penghujung tahun ini.
EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, pendekatan patuh syariah akan diaplikasikan, termasuk pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita, penyediaan ruang keluarga serta pencahayaan yang tidak terlalu gelap dalam dewan tayangan.
Beliau menjelaskan, syarikat pemaju perlu menyelesaikan Sijil Layak Menduduki (CF) terlebih dahulu sebelum boleh mengemukakan sebarang permohonan rasmi kepada kerajaan negeri.
“Setakat ini, perkara berkaitan pawagam masih di peringkat syarikat.
“Belum ada sebarang permohonan kepada kerajaan negeri.
“Namun kita sudah maklum akan kewujudannya, dan kesediaan bagi pelaksanaan konsep patuh syariah sudah ditetapkan,” katanya.
Menurut Asrul Aimran, Perlis akan meneliti kaedah yang telah digunakan di negeri lain, dengan pelaksanaan di Terengganu menjadi rujukan utama bagi memastikan kejayaan pendekatan ini.
Kangar Jaya Mall yang dibangunkan dengan pelaburan sekitar RM100 juta bakal menampilkan pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) berkapasiti 696 tempat duduk dengan enam dewan tayangan termasuk ‘PlayPlus’ yang pertama di Utara Semenanjung Malaysia.