Industri halal terus diberi penekanan di Perlis apabila lebih 150 peserta terdiri daripada mahasiswa, pensyarah dan usahawan menyertai Seminar Kesedaran Halal @UiTM Perlis yang berlangsung di Dewan Kuliah 6, Kompleks Star, UiTM Arau pada 26 Julai 2025, Sabtu.
Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Ustaz Azmir Azizan, yang menegaskan bahawa pemahaman tentang halal adalah asas penting dalam membina masyarakat berintegriti dan berdaya saing.
Program anjuran bersama Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) ini bertujuan meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan halal, penguatkuasaan serta penyediaan makanan yang selamat dan patuh akta makanan serta prosedur pensijilan halal Malaysia.
Antara pengisian menarik ialah sesi bertajuk Isu-Isu Viral dalam Industri Halal oleh Ustazah Azizah binti Mat Isa dari JAIPs, selain perkongsian mengenai amalan halal dalam penyediaan makanan oleh Pn. Siti Hanim binti Naim dari BKKM Perlis.
Turut diadakan, sesi Halal di Hujung Jari oleh Tuan Rudyismadi bin Ismail dari KPDN yang menyentuh peranan media sosial dalam pencerahan dan provokasi isu halal.
Forum Perdana Halal bertemakan Menjana Kesedaran Halal ke Arah Kehidupan Masyarakat Madani turut menjadi tumpuan dengan penglibatan panel daripada JAHEIK, akademik UiTM serta moderator dari JAIPs.
Melalui seminar ini, peserta didedahkan bahawa isu halal bukan hanya soal makanan semata-mata, tetapi merangkumi gaya hidup, integriti perniagaan dan kesejahteraan masyarakat.
Ia selaras dengan aspirasi negeri untuk memperkasa ekosistem halal Perlis serta mendukung usaha Malaysia sebagai hab halal global.