Kerajaan Negeri Perlis terus memberi perhatian kepada kebajikan rakyat apabila Belanjawan 2026 Negeri meletakkan tema Tekad 3 sebagai ‘Perlisku Bestari Berkebajikan’.
Di bawah inisiatif sembilan : Perlis Berkebajikan, Diberkati dan Dirahmati, pihak Kerajaan Negeri memperuntukkan RM105 ribu bagi memperkenalkan Sumbangan Beras Prihatin Perlis.
Perkara tersebut diumumkan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ketika membentangkan Belanjawan 2026 dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas, di Kompleks Seri Putra, semalam.
“Kerajaan Negeri memperkenalkan Sumbangan Beras Prihatin Perlis dengan peruntukan sebanyak 105 ribu ringgit,” ujarnya.
Katanya sumbangan tersebut bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup khususnya kepada golongan rentan tanpa mengira kaum dan agama.
Menurut beliau, bantuan ini akan diagihkan secara bulanan melalui kaedah bersasar dan semua pemohon perlu berurusan melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat.
